Kakitangan Awam Diseru Laksana Konsep 1Malaysia Kakitangan Awam Diseru Laksana Konsep 1Malaysia

PUTRAJAYA: Kakitangan awam di Kementerian Sumber Manusia diminta melaksanakan Program Transformasi Kerajaan, konsep 1Malaysia, Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dalam usaha meningkatkan kemajuan negara dan memenuhi aspirasi rakyat.
 
Langkah ini perlu bagi membantu kerajaan melahirkan entiti yang lebih efektif dan bertanggungjawab terhadap kemajuan negara dan rakyat.
 
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata melalui RMK-10, kerajaan berharap dapat meningkatkan produktiviti dan inovasi, menyediakan modal insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran abad ke-21 serta meningkatkan peranan kerajaan dan kakitangannya sebagai pemudah cara.
 
"Kementerian ini pula bertanggungjawab memastikan wujud keharmonian industri, kebajikan kesatuan sekerja, menyelesaikan kes dengan efisien, memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dan memperkasakan keselamatan sosial," katanya berucap pada perhimpunan bulanan kementerian itu, kelmarin.