Teraju Mampu Perkasakan Kuasa Ekonomi Bumiputera Teraju Mampu Perkasakan Kuasa Ekonomi Bumiputera

28 November 2011
Utusan Malaysia


KUALA LUMPUR 27 Nov. - Pelancaran pelan hala tuju - Transformasi Ekonomi Bumiputera pada Sabtu lalu sepatutnya melenyapkan kebimbangan masyarakat Bumiputera bahawa mereka dipinggirkan kerajaan.

Ramai yang sebelum ini, mempersoalkan kemampuan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menggerakkan agenda Bumiputera sehingga ia dikritik hebat sebagai kurang diyakini kemampuannya.

Bagaimanapun, Teraju, sebagai sebuah badan yang baharu ditubuhkan sembilan bulan yang lalu di bawah Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB), ternyata lebih 'diam-diam ubi' yang mana senyapnya ia bertujuan mencari pengisian terbaik untuk mengangkat martabat ekonomi Bumiputera.

Tidak menghairankan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan hala tuju itu adalah selaras dengan fungsi penubuhannya untuk menerajui, menyelaras dan memacu transformasi serta memperkukuhkan agenda bumiputera agar jurang ekonomi yang wujud dengan kaum lain dapat dirapatkan.

Program itu merupakan dokumen strategik bertujuan memperkukuhkan lagi penciptaan kekayaan Bumiputera dengan menjadikan tiga pemacu untuk mencapai kejayaan tersebut.

Pertama, pendapatan lebih tinggi menerusi pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik, kedua, meningkatkan dan merealisasikan nilai aset milik Bumiputera seperti unit amanah, dana zakat, aset wakaf dan ekuiti korporat dengan pengurusan yang lebih baik dan ketiga, memperkukuhkan pegangan dan penguasaan korporat di kalangan Bumiputera.

Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, agenda pembangunan untuk Bumiputera bukanlah baharu kerana ia telah bermula sejak tahun 1971 lagi menerusi pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Bagaimanapun, di sebalik pelaksanaan DEB itu, bahagian kek ekonomi sebanyak 30 peratus yang patut dikuasai Bumiputera gagal untuk dicapai, sekali gus memerlukan pendekatan baharu diambil. Ia hanya sekadar 21.9 peratus pada 2008.

Menurut Nor Mohamed, Teraju akan menjadi suntikan baharu bagi mewujudkan lebih banyak pegangan ekuiti Bumiputera dalam bidang ekonomi,

Keupayaan Teraju tidak seharus dipersoalkan kerana ia mempunyai kedudukan istimewa apabila melaporkan terus kepada Perdana Menteri selain satu lembaga pemantau ditubuhkan.

Oleh itu, berbekalkan peruntukan RM2 bilion, Teraju dilihat mampu memainkan peranannya termasuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera dan bekerjasama dengan SME Corp untuk melahirkan syarikat lebih besar dan pemain di persada dunia di bawah Program Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras).

Di bawah teras tiga sumber utama digunakan untuk menjana peluang perniagaan iaitu menerusi perolehan kerajaan yang mana Kementerian Kewangan dan kementerian lain akan mengenal pasti peluang-peluang yang khusus daripada projek sedia ada.

Syarikat Bumiputera yang berjaya akan membangunkan Program Pembangunan Vendor agar dapat menyediakan perniagaan kepada syarikat Teras untuk membangunkan perniagaan berskala besar.

Pada masa yang sama, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB), sebuah dana amanah pendidikan swasta ditubuhkan bagi meningkatkan bilangan Bumiputera berpendidikan tinggi.

Melalui Teras dan YPPB serta langkah membuka peluang kepada individu terutamanya profesional Bumiputera memiliki aset yang diurus melalui program Sweat Equity, apa yang ditawarkan Teraju sememangnya menarik dan patut disokong.

Jadi tidak menghairankan apabila ketika pelancarannya Perdana Menteri percaya apabila negara mencapai status negara berpendapatan tinggi tahun 2020, Bumiputera akan mencapai penyertaan ekonomi yang lebih baik dan memiliki pegangan yang lebih besar ke atas kekayaan negara.