Membina Malaysia Lebih Saksama Membina Malaysia Lebih Saksama

Sedutan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Invest Malaysia 2010

'MENERAJUI Kecemerlangan Global' tema bagi Invest Malaysia 2010, adalah berpadanan dengan persekitaran Bursa Malaysia yang berpandangan jauh serta aspirasi yang dikongsi bersama bagi negara dan perniagaan. Ia juga bertepatan dengan apa yang ingin saya katakan pada hari ini. Dalam tahun baru, konteks baru, dan dunia yang semakin pulih dari kemelesetan, kita perlu fokus terhadap:
  * Pemulihan yang mapan dan kukuh dalam jangka masa pendek dan sederhana;
  * Meningkatkan daya saing Malaysia;
  * Merancakkan pelaburan dan pertumbuhan swasta;
  * Meletakkan negara ke arah mencapai tahap berpendapatan tinggi;
  * Membina ekonomi yang inovatif; dan
  * Transformasi nekad dan perubahan ekonomi untuk memodenkan model ekonomi demi masa hadapan.

Dua belas bulan lalu, agenda tersebut mungkin idealistik. Dunia berada dalam kemelut kemelesetan ekonomi global yang pertama. Lebih 20 juta pekerjaan hilang.

Sumber kekayaan bertrilion dolar terus hilang. Ekonomi dunia mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pengeluaran industri dan pelaburan modal jatuh mendadak.

Kita enggan menjadi pemerhati pasif, justeru kita bertindak dengan tegas dan pantas. Kita menyuntik RM67 bilion rangsangan fiskal, dan berjaya mengimbangi pelaburan negara yang dikehendaki dan perbelanjaan berhemat yang diperlukan untuk mengurangkan defisit bajet. Kita memperkenalkan rangkuman insentif dan inisiatif liberalisasi sektor perkhidmatan yang membuka peluang kepada pelaburan yang berkualiti tinggi dalam sektor utama ekonomi negara.


Kini, kita sedang menyaksikan hasil langkah tersebut. KDNK bagi suku keempat 2009 mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus, lebih tinggi daripada jangkaan. Pakej rangsangan menjana ratusan projek infrastruktur penghasilan kerja. Eksport kembali pulih, dan pengaliran semula pelaburan asing yang berkualiti ke Malaysia.

Defisit fiskal dijangka mengecil dari 7.0 peratus kepada 5.6 peratus pada 2010. Indeks pengeluaran industri kembali kukuh dengan pertumbuhan 12.7 peratus pada Januari 2010. Jumlah eksport meningkat 37 peratus kepada RM52 bilion dan import bertambah 31 peratus kepada RM40 bilion.

Aktiviti sektor swasta yang positif juga amat menggalakkan. Coca-Cola mengumumkan pelaburan RM1 bilion yang mampu menjana 2,000 hingga 3,000 pekerjaan. IPO Maxis yang bernilai beberapa bilion ringgit merupakan yang terbesar di Asia Tenggara. JCY Berhad juga satu contoh kebanggaan aktiviti sektor swasta, di mana ia bermula sebagai syarikat yang kecil dan kini, menghasilkan 25 peratus daripada pengeluaran pemacu cakera keras dunia.


Melangkah ke hadapan, pegangan kerajaan dalam pasaran akan dikurangkan, modal akan dijana, inovasi dipupuk dan kekayaan dihasilkan bagi memberi kemudahan untuk mengembangkan lagi ekonomi Malaysia.

Ekonomi global belum pulih sepenuhnya. Malaysia turut menerima impaknya. Bagaimanapun ekonomi negara kini berada dalam landasan pemulihan yang kukuh.

Keputusan kerajaan dan visi sektor swasta yang dinamik membantu mewujudkan asas pembangunan ekonomi ke tahap seterusnya.

CABARAN YANG DIHADAPI

Sebagai kerajaan - dan Perdana Menteri - aspirasi kita untuk Malaysia dan rakyat, adalah lebih jauh dan bukan sekadar membimbing negara ke arah pemulihan ekonomi. Justeru, segala usaha yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas akan sia-sia jika kita kembali ke status asal. Saya berjanji: kita akan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk membangun serta melaksanakan pembaharuan ekonomi untuk terus berkembang, untuk perniagaan berjaya dan yang paling utama untuk kemakmuran rakyat.

Ekonomi dunia - sebelum dan khususnya sejak krisis kewangan, mengalami perubahan ketara. Polisi sebelum ini yang memacu pertumbuhan tinggi dan membantu mengurangkan kemiskinan tegar, tidak lagi memadai untuk meningkatkan tahap pendapatan dan mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada modal baru untuk menjana pertumbuhan. Sebaliknya, menggunakan modal ini secara lebih efektif untuk meningkatkan produktiviti, merangsang inovasi dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja. Jika kita tidak bertindak pantas mengenal pasti halangan dan bertindak balas secara efektif terhadap perubahan persekitaran ekonomi, kita akan menghadapi risiko kehilangan daya saing.

Kita tidak boleh lagi bergantung pada beberapa sektor ekonomi untuk memacu pertumbuhan. Kita perlu mempelbagai dan memberi insentif kepada industri strategik baru yang kita mempunyai kepakaran, kekuatan dan potensi untuk lebih berjaya. Selaras ini, kita harus memberi pertimbangan kepada manfaat yang boleh diperoleh daripada kompetensi tenaga kerja Malaysia di dalam dan luar negara. Mereka - dengan sokongan bakat asing - mampu menyumbangkan kecerdasan minda, modal intelektual dan kemahiran untuk membantu merealisasikan matlamat kita. Saya menjemput rakyat Malaysia yang telah meninggalkan tanah air kembali dan bersama-sama menggembleng tenaga dalam proses transformasi ini.

Sistem pendidikan perlu dikaji secara berterusan dan ditambah baik untuk melahirkan tenaga kerja masa depan, dengan komitmen kepada program berasaskan merit.

Ini akan mendorong kecemerlangan dan memupuk graduanberbakat yang cemerlang dari segi pemikiran kreatif dan strategik serta kemahiran keusahawanan dan kepimpinan yang akan memacu kejayaan.

Kita memerlukan kerajaan yang dapat membantu memperkukuh sektor swasta. Ini bermakna, membentuk semula dan memperkasa sektor awam menjadi lebih responsif dan bertanggungjawab kepada keperluan sektor swasta dan perniagaan.

Kita juga mengenal pasti beberapa polisi yang berjaya mencapai tujuannya pada era sebelum ini, namun kini mungkin menjadi penghalang kepada kejayaan, merencat pasaran dan meletakkan kita dalam kedudukan yang kurangberdaya saing. Sebagai contoh, kerajaan sedang berunding untuk mengubah struktur polisi fiskal yang akan menaksir semula sistem subsidi yang wujud di Malaysia dan meluaskan punca kutipan hasil melalui cadangan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan. Langkah ini akan membawa Malaysia sejajar dengan keadaan norma antarabangsa dan mengurangkan kebergantungan terhadap industri, perniagaan dan pembayar cukai. Ini penting untuk membolehkan kita terus maju bersama sebagai satu negara, di samping meningkat dan mengukuh program jaringan keselamatan untuk menyokong kebajikan rakyat yang mudah terjejas.

Secara keseluruhan, kekurangan ini menjelaskan keadaan pelaburan swasta Malaysia yang masih belum pulih ke paras sebelum krisis kewangan Asia kerana ini boleh memberi ancaman pada usaha menjadikan negara sebagai destinasi pelaburan asing dan tempatan.

Menangani isu-isu ini bukan saja perlu mempunyai visi yang jelas dan polisi yang betul tetapi juga memerlukan iltizam politik yang jitu,pelaksanaan yang efektif dan sokongan rakyat yang sepadu. Adakah kita mempunyai semangat dan keberanian untuk keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana? Saya percaya kita perlu mencapai persetujuan bersama mengenai isu ini. Memandangkan pertumbuhan ekonomi semakin pulih, sesetengah pihak mempersoalkan keperluan untuk segera mengubah tabiat lama. Kini, terdapat seruan untuk melindungi status sedia ada. Kita jangan mudah terpedaya. Kita memerlukan cara baru untuk bertindak. Dengan pemulihan ekonomi, kita mesti bertindak segera memperkukuhkan kedudukan Malaysia di masa hadapan. Dan ini merupakan pilihan yang perlu kita hadapi. Untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana iaitu satu kedudukan yang merbahaya kepada mana-mana negara dalam ekonomi global baru; atau untuk terus kekal dengan apa yang kita tahu dan kita selesa serta terus berharap agar dunia beradaptasi dengan kita. Pilihan kita dan tugas kerajaan adalah terus menerajui polisi ekonomi yang berjaya dalam industri berpengetahuan masa hadapan, dengan pekerjaan bergaji tinggi dan kemakmuran yang boleh dikongsi bersama.

LAPORAN NEAC

Pada hari ini, kita akan mengambil satu langkah penting dalam perjalanan tersebut. Teras utama agenda polisi panjang merupakan model ekonomi baru - yang akan disepadukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dengan visi jangka masa yang lebih panjang yang akan dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-11. Ini akan mengubah ekonomi Malaysia menjadi satu ekonomi yang berpendapatan tinggi dan mempunyai pertumbuhan berkualiti dalam abad yang mendatang.

Model Ekonomi Baru (MEB) merupakan tunjang penting kepada Malaysia yang sedang dibentuk, struktur yang akan berkhidmat kepada masyarakat kita pada masa akan datang. Sebagai metafora, fikirkan sebuah rumah yang disinari mentari Malaysia. Kita memerlukan bumbung - falsafah yang merangkumi kesemua bahagian binaan ini. Dalam situasi ini, 1Malaysia merupakan bumbung tempat kita sama berteduh. Program Transformasi Kerajaan (GTP) - satu program penyampaian dalam enam Bidang Keberhasilan Utama - merupakan satu tiang asas kepada rumah ini. Tiang asas kedua ialah Pelan Transformasi Ekonomi yang akan membangunkan MEB. Dan lantainya, asas di mana kesemua rakyat Malaysia terus bergerak ke hadapan adalah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11.

Selepas beberapa bulan saya menjadi Perdana Menteri, saya menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) iaitu badan bebas yang ditugaskan mengkaji ekonomi negara secara terperinci. Saya meminta majlis ini memberikan cadangan berani tetapi praktikal untuk melaksanakan MEB bagi mengubah ekonomi Malaysia.

Saya dengan ini mengumumkan bahawa telah menerima laporan NEAC ini.

Laporan ini secara telusnya menyatakan keadaan ekonomi masa kini, kekuatan dan kelemahan - serta menilai polisi semasa dan bidang berpotensi untuk dijadikan

tumpuan pada masa akan datang. Ia merupakan analisis yang komprehensif dan berpandangan jauh.

Pada hari ini, saya dan anggota Kabinet - bersama-sama ahli jawatankuasa NEAC - akan memulakan pertimbangan terperinci mengenai cara untuk kita maju, terutama dalam kita beralih dari laporan ini kepada pelan tindakan masa depan. MEB mempunyai implikasi yang meluas untuk semua rakyat dan kita tidak mampu mengabaikan pandangan mereka mengenai perkara ini. Seperti pelabur, kerajaan juga menitikberatkan ketelusan yang tinggi. Sama ada dalam bajet mahupun GTP, ribuan penduduk awam terlibat dalam proses ini, saya telah mengarahkan laporan ini diterbitkan dan mudah dicapai oleh masyarakat umum. Dengan ini kita dapat mengumpulkan input dan memberi peluang untuk mereka terlibat sama dalam proses membuat keputusan. Hanya melalui konsultasi bersama rakyat dan semua pihak lain yang berkepentingan, maka kita akan mampu mencapai perancangan yang kukuh, meyakinkan dan efektif dalam melaksanakan MEB.

Saya telah menekankan sebelum ini bahawa era 'Kerajaan tahu segalanya' telah berakhir. Rakyat - dan golongan seperti pemimpin perniagaan dan pelabur - ingin serta layak untuk melibatkan diri dalam proses pembuatan polisi. Kita perlu membangunkan pendekatan lebih konsultatif dalam melibatkan pihak berkepentingan paling utama. Hanya melalui proses itu, kita boleh meluaskan pandangan, mencabar pemikiran dan membantu membina ketelusan dan keterbukaan semua ke arah yang betul. Inilah hala tuju yang akan kita ambil. Rakyat didahulukan.

PRINSIP MEB

Seterusnya, saya ingin menetapkan tiga prinsip yang saya percaya akan menjadi penunjuk kepada pemikiran negara dan pembangunan MEB. Saya mahu - seperti mana yang digariskan Pengerusi NEAC, Senator Tan Sri Amirsham A Aziz - untuk kita semua membayangkan kesan MEB pada masa akan datang dan makna MEB terhadap diri kita dari segi individu dan perniagaan.

Tiga prinsip yang jelas terhasil daripada laporan NEAC - pertama, berpendapatan tinggi, kedua, kemapanan dan ketiga, keterangkuman (inclusive). Ketiga-tiga prinsip ini akan memacu kemajuan ekonomi menjadi sebuah negara membangun sepenuhnya; meletakkan kedudukan negara yang berdaya saing secara strategik di dalam ekonomi serantau dan global, persekitaran yang mapan dan kualiti kehidupan secara menyeluruh.

Kita perlu bertanya soalan asas ini: Adakah MEB ini menjana pekerjaan berpendapatan tinggi di mana rakyat mendapat manfaat daripada ekonomi yang berdaya saing dan cara hidup yang lebih baik? Inilah intipati (raison detre) bagi MEB. Kita mahu melihat Malaysia melakukan lonjakan kuantum daripada pendapatan tahunan perkapita AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun. MEB hendaklah dibina dari sini. Ia bukan tugas mudah, tapi menjanjikan pulangan lumayan jika kita mampu melakukan transformasi ini. Cabaran kita adalah bagaimana melakukannya. Ini bermaksud, membangunkan sektor sedia ada dan memaksimumkan potensi sektor baru melalui inovasi.

Mewujudkan negara berpendapatan tinggi bermakna upah pekerja lebih tinggi bagi keseluruhan ekonomi disebabkan pertumbuhan bukan saja daripada modal, tetapi juga produktiviti yang tinggi melalui penggunaan kemahiran dan inovasi, koordinasi yang diperbaiki, penjenamaan yang kukuh dan mematuhi piawaian antarabangsa dan hak harta intelektual. Ekonomi yang berasaskan pengetahuan, pelaburan dalam teknologi baru, kemahiran yang pelbagai, innovasi dan kreativiti, serta peningkatan kompetensi adalah pemacu kepada prestasi sektor awam dan swasta. Kita mengharapkan pelaburan dan persaingan untuk bakat terbaik melalui pembayaran upah yang tinggi. Malah, pekerja kolar biru juga akan diberi upah berdasarkan peningkatan kompetensi dimiliki, dengan prestasi mereka diukur berdasarkan tanda aras pesaing antarabangsa. Semakin banyak kemahiran, tanggungjawab lebih besar dan pekerjaan lebih baik serta berpendapatan tinggi.

Antara penemuan lain, laporan NEAC turut memberi penekanan bahawa sehingga hari ini 80 peratus tenaga kerja mempunyai taraf pendidikan sehingga SPM yang setaraf dengan O-levels. Perkara ini tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang kita aspirasikan. Kita perlu pendidikan berterusan, latihan kerja praktikal dan latihan semula kemahiran bagi memanfaatkan sepenuhnya teknologi baru. Dan dengan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di mana produktiviti dan daya saing memacu pertumbuhan, kos menjalankan perniagaan akan sentiasa berdaya saing berikutan penggunaan modal lebih efisien serta memberi penekanan terhadap pekerja berkualiti. Ini bermakna, pengurangan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang tidak berkemahiran, dan lebih penumpuan kepada pekerja pelbagai kemahiran yang boleh meningkatkan produktiviti. Perubahan ini juga memerlukan kerajaan turut meningkatkan kualiti dan produktiviti pekerjanya. Saya percaya kita telah memulakan usaha melalui GTP, antaranya meningkatkan infrastruktur negara serta Kedua, MEB mesti bertunjangkan komitmen terhadap penjanaan pertumbuhan yang mapan, bukan saja dari sudut prestasi ekonomi negara kita, bahkan perlu mengambil kira kesan pembangunan ekonomi ke atas persekitaran dan sumber asli yang tidak ternilai. Tiada makna kita terlalu mengejar masa depan dengan kekayaan melimpah-ruah, jika sumber alam dan nilai masyarakat terhakis yang bakal dihadapi generasi akan datang. Pilihan ini tidak wajar dan amat sia-sia sekali. Kita boleh memiliki pendekatan ekonomi yang mantap dan dinamik, tetapi mesti berupaya memelihara negara kita yang dicintai demi generasi akan datang. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mapan hendaklah selari dengan pemuliharaan alam sekitar. Seperti saya nyatakan semasa penubuhan NEAC, pencapaian berasaskan kekayaan semata-mata belum memadai. Bukan saja saya mahukan rakyat memperoleh pendapatan lebih tinggi, tetapi juga menikmati kehidupan lebih sempurna. Meningkatkan kualiti hidup mestilah menjadi sebahagian daripada adunan MEB.

Akhir sekali, adakah MEB melibatkan keterangkuman? Kita perlu mengambil kira penggemblengan potensi rakyat, dan sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara yang semakin berkembang.

Keterangkuman atau penyertaan menyeluruh adalah prasyarat utama bagi memupuk semangat kekitaan dan pemuafakatan di dalam MEB. Saya mengambil kesempatan ini, untuk menyentuh isu penyertaan menyeluruh MEB di mana tidak ada seorang pun terpinggir dalam menyumbang dan mengecapi hasil penjanaan kekayaan seiring kemajuan negara. Walaupun dari segi realiti, mustahil untuk mencapai kesaksamaan sempurna dalam ekonomi global dan terbuka, masyarakat yang berteraskan penyertaan bersama, mampu memastikan kita boleh mengurangkan jurang ketidaksamaan, membantu mereka yang paling memerlukan, dan melibatkan penyertaan semua rakyat yang berkebolehan dalam usaha melahirkan tenaga kerja berdaya saing.

Dalam mengubah pendekatan dengan mengambil kira cabaran baru ini, ia memerlukan kita mengubah pemikiran rakyat. Dalam jangka masa pendek, tentu ada tentangan hebat. Sebahagian sektor ekonomi mungkin terjejas. Proses pembaharuan tidaklah mudah dan tentunya akan mengalami kesukaran. Namun,bagi membina kekuatan jangka panjang negara, kita tidak boleh berterusan membelakangi isu ini. Jika kita benar-benar mahu menyelesaikan isu ketidaksamarataan dan menjadi contoh di rantau ini, kita perlu bertindak segera melakukan perubahan.

TINDAKAN AFIRMATIF SEBAHAGIAN DARIPADA PENYERTAAN MENYELURUH

Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan tindakan afirmatif telah berjaya dilaksanakan selama 40 tahun yang lalu, mengimbangkan strategi pertumbuhan ekonomi negara kita dengan keperluan menangani ketidaksamarataan struktur ekonomi dan memupuk keharmonian sosial. Kadar kemiskinan berjaya dikurangkan dengan ketara kepada 3.7 peratus pada masa ini. Namun, bilangan isi rumah berpendapatan rendah masih banyak di Malaysia. Kerajaan kini berhadapan masalah abad ke-21 yang memerlukan pendekatan baru untuk menyelesaikannya.

Laporan NEAC menggariskan pendekatan untuk menangani kemiskinan dan juga memperbaharui polisi afirmatif dalam konteks ekonomi baru dan lebih berdaya saing.

Ini akan menjadi sebahagian daripada proses konsultasi awam. Sungguhpun demikian, kerajaan berpendapat ia mempunyai kewajaran untuk pertimbangan dan saya ingin menggariskan parameter lebih menyeluruh.

Keutamaan adalah untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Kita tidak akan mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, mapan dan melibatkan penyertaan menyeluruh tanpa menangani masalah jurang pendapatan.

Justeru, perlu kita memperbaharui polisi afirmatif terhadap MEB yang akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap pendapatan semua golongan yang kurang bernasib baik. Ia akan memberi fokus terhadap keperluan seluruh rakyat - mereka yang tinggal di rumah panjang di Sabah dan Sarawak serta golongan miskin luar bandar di Semenanjung Malaysia yang sering tersisih daripada aktiviti ekonomi negara. Nelayan, peniaga kecil dan petani juga tergolong dalam kategori ini. Begitu juga Orang Asli dan penduduk bandar berpendapatan rendah yang bekerja keras menyara kehidupan dalam keadaan ekonomi sukar. Sehubungan ini, laporan NEAC mencadangkan fokus diberikan terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah - dari segi individu dan wilayah. Mereka golongan kurang bernasib baik yang masih memerlukan perhatian khusus.
 
Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia hidup dalam kemiskinan, semua mendapat peluang untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara. Sementara terdapat di kalangan mereka masih bergelut dalam keadaan sukar dengan berpendapatan rendah, kita akan sentiasa memberikan sokongan khas untuk membantu mereka keluar daripada perangkap kemiskinan.
 
Sejak berdekad lamanya, DEB menjadi kayu pengukur pencapaian utama masyarakat, satu polisi yang saya sokong dan terima sepenuhnya. Objektif asalnya masih relevan, namun, sudah tiba masa untuk kita menilai kembali pelaksanaan DEB. Kita akan menyasarkan pencapaian matlamat yang sama tetapi dengan mengubah cara melaksanakannya. Oleh itu, dasar afirmatif yang diperbaharui akan dilaksana berdasarkan empat prinsip, ia perlu:
  * mesra pasaran;
  * berdasarkan merit;
  * telus; dan
  * berdasarkan keperluan.
 
Sebagai contoh, salah satu pertimbangan penting adalah mewujudkan proses tender yang kompetitif dan telus, dengan peraturan yang tetap dan jelas bagi seluruh komuniti Bumiputera yang terdiri daripada kedua-dua kaum Melayu dan pribumi lain. Ini adalah pemantapan dasar kita bagi menghadapi keadaan ekonomi baru, di mana keterangkuman merupakan komponen penting di dalam MEB. Secara praktiknya, pendekatan ini bermakna sokongan kepada Bumiputera dipertingkatkan, di mana ia berdasarkan kepada keperluan dan bukannya bangsa. Bumiputera masih majoriti dalam kumpulan yang mudah terjejas, walaupun dalam pelbagai pendekatan, sementara pendekatan baru akan membantu mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah. Pendekatan ini sebahagian besarnya masih memanfaatkan komuniti Bumiputera dan pada masa sama, memberi manfaat kepada komuniti lain yang kurang bernasib baik.
 
Dalam menilai pencapaiannya, pengagihan yang adil hendaklah merangkumi keseluruhan spektrum pengukuran kekayaan seperti pemilikan ekuiti, aset kewangan dan bukan kewangan lain serta akses kepada peluang menjana kekayaan seperti konsesi jangka panjang dan kontrak. Malahan dari segi pengukuran pemilikan, ia perlu melangkaui aspek ekuiti termasuk harta benda lain, aset perniagaan seperti peruncitan, harta tanah, bangunan komersial, harta intelek dan perkhidmatan lain serta perjawatan dalam pengurusan. Satu contoh yang baik ialah pembangunan semula Kampung Baru, yang merupakan peluang penjanaan kekayaan secara holistik yang mendalam dan melangkaui pemilikan ekuiti. Saya telah mengarahkan NEAC menyediakan rangka kerja terperinci untuk melaksanakan model afirmatif baru berdasarkan mekanisme telus dan berasaskan pasaran untuk mencapai pengagihan saksama, manfaat daripada ekonomi berpendapatan tinggi.

Laporan NEAC menggariskan pandangan bahawa mekanisme sebelum ini yang menumpukan pada penetapan sasaran, kini perlu memberi fokus kepada pelaburan bina upaya yang berdedikasi dan berstruktur di mana ia membolehkan Bumiputera meraih manfaat daripada peluang baru dalam ekonomi. Selanjutnya, akses dan peluang latihan yang lebih saksama bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan untuk mendapat pekerjaan akan diberi keutamaan kepada semua rakyat Malaysia.

Pendekatan ini berasaskan pengalaman kita dalam melaksanakan tindakan afirmatif selama ini. Apabila dasar ini dilaksanakan dengan telus, adil dan dengan kaedah lebih berwibawa, ia akan menjurus kepada pencapaian lebih baik. Akan tetapi, setelah sekian lama, pelaksanaan tindakan afirmatif tidak menepati golongan sasaran yang amat memerlukan. Terdapat persepsi yang menggambarkan bahawa bukan Bumiputera tidak mendapat manfaat daripadanya sehingga kini, walaupun fakta dan data menunjukkan sebaliknya. Justeru, kita perlu menukar persepsi ini dengan prinsip baru tindakan afirmatif yang dinyatakan sebelum ini.

Kita tidak boleh lagi bertolak-ansur dengan amalan yang menyokong aktiviti rent-seeking dan patronage, yang sekian lama menjejaskan matlamat murni DEB.

Penyertaan menyeluruh diperlukan, di mana semua rakyat Malaysia dapat menyumbang dan mengambil manfaat daripada pertumbuhan ekonomi - perlu menjadi teras utama bagi sebarang pendekatan ekonomi baru.

Ini adalah prinsip yang ingin saya lihat sebagai panduan dalam fasa konsultasi seterusnya. Bolehkah kita membina model baru berlandaskan ekonomi berpendapatan tinggi, mapan dan penyertaan menyeluruh di mana kita semua dapat menikmati kemakmuran? Saya percaya kita semakin menghampiri sasaran. Saya percaya ada sokongan padu daripada rakyat Malaysia. Saya juga percaya - dengan kepintaran dan kreativiti rakyat dan golongan peniaga dan usahawan Malaysia - kita boleh dan akan merealisasikan aspirasi ekonomi nasional itu.

DARIPADA PRINSIP KEPADA SEBUAH PELAN
 
Persoalannya bagaimana menuju ke sana? Usaha kerajaan dan NEAC masih belum selesai dengan pembentangan laporan awal ini. Pendekatan ini mempunyai dua peringkat. Kini, kita perlu memastikan konsultasi yang menyeluruh dan mantap dan kemudiannya, membangunkan rangka kerja (blueprint) atau pelan hala tuju pelaksanaan MEB yang terperinci serta perubahan ekonomi yang akan dilaksanakan. Umpamanya, kumpulan kerja seperti lab yang menerajui pembangunan GTP di bawah NKRA akan diadakan, yang disertai sektor awam dan swasta bagi memacu strategi MEB, yang akan membawa kepada laporan kedua pelan hala tuju yang lebih terperinci. Malah, kita akan membangunkan Program Transformasi Ekonomi bagi melaksanakan MEB ini.
 
Bagi merealisasikan transformasi ini, NEAC menggariskan inisiatif pembaharuan strategik. Lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik akan bertumpu kepada:
  1) Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi;
  2) Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing;
  3) Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing;
  4) Memperkukuhkan sektor awam;
  5) Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran;
  6) Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan;
  7) Meningkatkan sumber pertumbuhan; dan
  8) Memastikan pertumbuhan yang mapan.
 
Semua lapan inisiatif ini saling melengkapi dan kesannya merentasi semua sektor ekonomi. Ketiga-tiga matlamat MEB memerlukan kita mencapai pertumbuhan KDNK lebih tinggi untuk dekad seterusnya. Oleh yang demikian, dasar yang perlu kita laksanakan mesti menyentuh isu asas, bagi memastikan momentum pertumbuhan dapat dipercepatkan melalui pendekatan holistik untuk menghapuskan semua halangan. Matlamat ini memberi penekanan kepada bina upaya dan bukanlah hanya pembangunan negara semata-mata, sebagai langkahmencapai pembangunan mapan.
 
Sebagai tambahan kepada laporan NEAC, saya mencadangkan usaha ditumpukan secara efektif ke atas sektor utama yang spesifik, atau dikenali sebagai Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEAs). Ini adalah bidang di mana ekonomi negara mempunyai potensi untuk terus maju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Pada masa lalu, kerajaan lebih memainkan peranan paternalistic dalam mencadang dan mempromosi sumber pertumbuhan baru yang sepatutnya diterajui sektor swasta. Sememangnya kita perlu memberi panduan, tetapi kita berpendapat kerajaan tidak sepatutnya membuat keputusan pelaburan untuk sektor swasta.
 
Berdasarkan pendekatan baru NEAC yang menyatakan bahawa sektor swasta perlu memacu pertumbuhan, kerajaan mestilah meningkatkan peranannya sebagai fasilitator kepada pihak industri untuk maju. Majoriti inisiatif yang telah diwujudkan adalah berkaitan semua faktor penting dalam memperbaiki hala tuju ekonomi - untuk menghapuskan pengherotan pasaran dan halangan yang menggugat ekonomi kita daripada terus bergerak ke arah rantaian nilai lebih tinggi serta menggalakkan persaingan sihat.

Pelaksanaan dasar ini merupakan prasyarat untuk kita memanfaatkan sumber pertumbuhan baru. Selagi halangan ini wujud, peluang pembangunan dalam semua sektor tidak akan tercapai.
 
NEAC dengan mengambil kira input daripada sektor swasta mengenal pasti sektor utama yang boleh menjadi peneraju dalam menjana pertumbuhan tinggi - sektor yang kita mempunyai daya saing dan berkemahiran tinggi, mempunyai peluang menggunakan pengkhususan dan yang memperoleh kelebihan sebagai pelopor (first mover advantage) serta kelebihan berbanding tradisional (traditional comparative advantages). Banyak lagi yang perlu dilakukan, namun bagi meraih peluang yang ada sepenuhnya, kita perlu memberi fokus ke atas sektor-sektor utama ini.
 
Selaras dengan proses GTP dan NKRAs, saya komited mengadakan proses konsultasi yang menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan, dan memastikan NKEAs akan dipilih berdasarkan kriteria kepentingan negara. NEAC akan bekerja bersama-sama dengan PEMANDU bagi membangunkan NKEAs. Mereka akan mengadakan konsultasi dengan rakyat dan semua pihakberkepentingan lain. Apabila RMKe-10 diumumkan bersama dengan NKEAs, sebuah Unit Penyampaian Ekonomi khas akan ditubuhkan untuk menerajui proses perubahan serta memuktamad dan melaksanakan NKEAs tersebut. Masih banyak lagi kerja perlu dilakukan untuk mengenal pasti strategi kejayaan
yang perlu dilaksanakan di samping NKEAs yang perlu diberikan fokus.

Namun, sebagai penunjuk awal, saya memberikan beberapa contoh mengenai kemungkinan yang boleh kita jangkakan:
 
Dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), Malaysia boleh memanfaatkan sepenuhnya kelebihan sebagai peneraju awal. Berbekalkan asas yang kukuh, masa hadapan Malaysia dalam sektor ini perlu ditekankan bukan saja dalam pembuatan tetapi dalam penyelidikan, pembangunan serta rekaan, di mana syarikat Malaysia memacu inovasi dan bukan hanya mengimportnya. Antara langkah perlu dipertimbangkan adalah pemberian insentif bagi aktiviti penyelidikan bernilai tinggi dan menyokong PKS yang menjadi pembekal kepada syarikat besar dalam skala besar.

Industri berasaskan sumber dalam sektor minyak sawit serta minyak dan gas akan terus diberi penekanan. Dalam sektor minyak sawit, inisiatif bagi pengukuhan penyelidikan akan memacu teknologi tempatan yang dapat memenuhi permintaan pasaran, seperti minyak dan lemak yang sihat, biofuel daripada biomas, kosmetik dan plastik biodegradable.

Dalam sektor minyak dan gas, kita mempunyai juara seperti Petronas. Ia telah membina jenama yang sangat kukuh di peringkat antarabangsa dan saya percaya, kini ia perlu membantu untuk memacu pertumbuhan negara dengan memberi sokongan lebih lagi kepada pembekal tempatan. Walau bagaimanapun, melangkaui sektor teras minyak dan gas, kepakaran tenaga Malaysia di peringkat antarabangsa mampu membantu syarikat untuk berkembang di peringkat antarabangsa dengan berkongsi pengetahuan, bekerjasama dalam pembidaan antarabangsa dan memberi sokongan pada skala global. Dengan bakat tempatan berkemahiran tinggi serta syarikat yang mampu bersaing di peringkat global akan memberi Malaysia satu kelebihan yang nyata.

Dalam sektor perkhidmatan, potensi sektor pelancongan masih belum dieksploitasi sepenuhnya. Masih banyak boleh dilakukan untuk menarik pasaran baru dari Eropah dan Amerika untuk melengkapkan pasaran dari United Kingdom dan Asia. Kita mempunyai antara hutan tertua di dunia yang kaya dengan flora dan fauna serta kawasan menyelam dasar laut yang amat menarik. Malaysia mampu menerajui dalam menyediakan pengembaraan ekopelancongan yang lestari, mempunyai permintaan yang amat tinggi di kalangan negara maju. Kita perlu mensasarkan matlamat menyediakan perkhidmatan yang akan menarik high-end tourists, yang ingin mendapatkan perkhidmatan eksklusif dan bernilai tinggi. Kita juga perlu kreatif dalam menyediakan bidang baru dalam industri ini. Daripada pelancongan kesihatan, yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi, kepada ekopelancongan, pelancongan pasaran mewah serta pelawat yang berkaitan dengan pembangunan negara sebagai hab pendidikan serantau. Masa depan industri pelancongan adalah cerah jika kita mempunyai visi dan kreativiti bagi menyokong potensi pertumbuhannya.
 
Sebagai negara yang turut mengeluarkan hasil pertanian serta bergantung kepada import makanan, terdapat keperluan strategik bagi memberi fokus kepada peluasan sektor pertanian yang bernilai tinggi. Masih ada potensi untuk mewujudkan nilai melalui pembangunan pertanian berskala besar, kaedah pengeluaran hasil yang tinggi, teknologi baru, rangkaian pemasaran lebih baik yang akan meningkatkan pengeluaran dan pendapatan. Kita mesti menggalakkan perniagaan agro melalui amalan pertanian bersepadu dan moden. Memandangkan Bumiputera di luar adalah besar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, peningkatan aktiviti pertanian moden secara intensif akan menyumbang kepada pendapatan lebih tinggi dan mengurangkan jurang pendapatan. Seterusnya, untuk bersaing pada peringkat global, kita perlu memastikan sektor pertanian daripada peringkat penanaman sehinggalah pemprosesan, mematuhi atau melepasi standard dan amalan terbaik antarabangsa, serta memasarkan produk pada skala antarabangsa.
 
Malaysia juga berpotensi menjadi peneraju dalam bidang teknologi hijau dan membangunkan niche dalam industri dan perkhidmatan hijau bernilai tinggi. Kita mempunyai kepakaran dalam bidang pembuatan kompleks, dan merupakan peneraju dalam sektor solar dan tenaga alternatif serantau. Dengan kejayaan terkini dalam pengkomersialan produk bio-diversity, yang semakin mendapat tempat di kalangan pengguna, Malaysia mampu menjadi hab hijau yang menyeluruh dalam bidang perniagaan - merangkumi aktiviti penyelidikan, rekaan, pembuatan dan pengkomersialan, kita mempunyai kemahiran dan sokongan sektor awam.
 
Terdapat pelbagai bidang yang boleh diterokai untuk meluaskan punca pertumbuhan. Ingin saya memberi contoh yang lain - industri perkhidmatan kewangan, yang merupakan sektor pertumbuhan serta pemudah cara kepada pertumbuhan sektor lain. Potensi pembangunannya boleh dilihat dalam perkhidmatan kewangan Islam, serta dalam derivatif pengurusan risiko oleh peserta tempatan dan serantau. Kini, Malaysia merupakan peneraju perbankan dan pasaran modal Islam serta industri takaful di dunia. Kita juga berpotensi menjadi hab perkhidmatan kewangan Islam bersepadu. Umpamanya, Bank Negara Malaysia kini dalam proses memuktamadkan penubuhan pusat kewangan Islam dan kelulusan dua lesen bank Islam mega.
 
Persaingan kini bukan lagi di antara negara tetapi juga bandaraya. Bagi Malaysia melonjak ke arah sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, kita mesti meraih pulangan lumayan dengan pelaksanaan strategi untuk membina densiti, pembangunan kluster dan pengkhususan dalam sektor bernilai tinggi. Menyedari peranan ini, Kuala Lumpur dan Johor Bahru perlu dibangunkan supaya lebih sesuai didiami dan mampu menarik bakat serta menjadi sebahagian daripada perancangan bandar-luar bandar yang lebih komprehensif dan bersepadu. Kita mesti membangunkan kluster yang lebih kukuh dan berperanan sebagai inkubator untuk syarikat baru, memastikan perkongsian perkhidmatan dan membangunkan lebih banyak perniagaan serta jalinan universiti. Bukti menunjukkan, pembangunan bandaraya membantu meningkatkan pendapatan penduduk kawasan sekitar luar bandar, terutama apabila mereka diintegrasikan ke dalam jaringan rantaian penawaran.
 
Banyak lagi sektor pertumbuhan strategik, Malaysia berpotensi berkembang. Kita mempunyai kekuatan di dalam industri IT. Industri kreatif - kepakaran kita dalam muzik, filem, kesenian dan budaya - boleh menjadi sektor penting pada masa hadapan. Dengan asas yang kukuh dalam kepakaran di bidang perubatan, saintifik dan pembuatan, kita boleh menjadi pusat serantau untuk sektor bioteknologi dan sains hayat yang berkembang pesat.
 
Saya menyeru agar syarikat, pelabur dan usahawan Malaysia merebut peluang serta menjadi juara serantau malah pada peringkat global. Kita perlu mewujudkan polisi intervensi bersama untuk menjadikan ini satu realiti. Syarikat yang menunjukkan inovasi dan berpandangan jauh dalam membentuk dan mencergaskan semula aktiviti akan mempunyai prospek cerah menjadi peneraju dunia pada masa hadapan.

KERJASAMA AWAM-SWASTA

Jika Malaysia ingin mencapai matlamatnya, kita harus membina hubungan strategik, kuat dan teguh serta dipacu pasaran berasaskan permintaan yang menghubungkan sektor pertumbuhan kepada MEB. Saya telah menyentuh beberapa strategi, termasuk pemodenan sistem pendidikan ke arah melahirkan tenaga kerja bertaraf dunia; pembaharuan fiskal berhemat yang membawa lebih banyak keseimbangan kepada rangka kerja hasil dan perbelanjaan; serta langkah mesra pasaran yang berkesan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pendekatan baru ini.

Namun, asas kepada semua strategi ini ialah kefahaman yang baru dan jelas mengenai peranan perniagaan dan kerajaan. Pada masa sama, kerajaan hanya bertindak sebagai pemangkin dalam mencapai kekayaan. Kita berperanan memastikan kestabilan, keterbukaan dan kesaksamaan dalam persekitaran selamat yang menggalakkan, dan tidak menggugat atau menghalang pertumbuhan. Persaingan harus digalakkan bagi mewujudkan pasaran yang dinamik serta efisien dan jika perlu, sokongan daripada sektor awam akan diberikan. Dalam tempoh 18 bulan lalu, kita telah melihat dengan jelas keperluan, di mana kerajaan harus berwaspada di dalam menjamin kestabilan ekonomi apabila berlaku kegagalan pasaran.

Di dalam dewan ini, beberapa bakat sektor swasta adalah antara yang terbaik di dunia. Anda adalah peneraju kepada penciptaan kekayaan dan pertumbuhan. Kita akan melindungi kepentingan ekonomi dan seluruh rakyat secara aktif, tetapi kita juga mahukan kepakaran dan pelaburan sektor swasta untuk terus berkembang. Sekali lagi, untuk berjaya dalam konteks ekonomi yang berbeza, kita perlu melihat untuk melaksanakan sesuatu dengan cara berlainan.

Satu daripada perubahan ini ialah dengan menggunakan pendekatan baru yang meluaskan peranan pasaran modal di bawah MEB. Malaysia tidak akan berjaya, meskipun dalam sektor utama kita, jika kekal di takuk lama. Pencetus pertumbuhan membawa maksud memupuk inovasi, berani mengambil risiko dan kreatif dalam pembangunan produk atau perkhidmatan baru.

Bagi memudahkan pelaksanaan MEB, menyokong inovasi sektor swasta dan merangsang pembiayaan dalam perkhidmatan berisiko tinggi serta sektor berasaskan pengetahuan yang penting untuk masa depan, saya ingin melihat peluasan peranan pasaran modal, berkembang daripada model pemerolehan dana kepada model berasaskan kecairan dan kepelbagaian risiko bagi menggalakkan usahawan dan pelabur menjadi sebahagian daripada masa hadapan ekonomi
Malaysia yang cerah.

Pembangunan dalam pasaran modal akan terus diperkukuh di dalam Pelan Induk Pasaran Modal Kedua pada masa ini sedang dirangka oleh Suruhanjaya Sekuriti. Saya juga melihat kerancakan industri pasaran modal seperti sektor pengurusan dana, modal teroka dan ekuiti swasta sebagai penentu penting dalam usaha mencapai ekonomi berpendapatan dan berkemahiran tinggi.
 
Sehubungan itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada masa ini menguasai pasaran ekuiti dan bon tempatan sehingga 50 peratus daripada volum harian Bursa yang diwakili perdagangan berkaitan KWSP, yang mana situasi ini tidak sihat untuk pasaran mahupun KWSP. Pada hari ini, saya mengumumkan bahawa KWSP dibenarkan melabur lebih banyak aset di luar negara, dan ini membolehkan KWSP mempelbagaikan portfolio dan memberikan lebih banyak ruang domestik untuk penyertaan baru. Pada masa ini, KWSP mempunyai 6 peratus aset pelaburan luar pesisir pantai dan jumlah ini akan meningkat secara ketara. KWSP juga akan meningkatkan pelaburan langsung di dalam ekonomi benar Malaysia, sebagai alternatif kepada pasaran pelaburan seperti penglibatan dalam sektor penjagaan kesihatan, komoditi, harta tanah dan pelaburan jangka masa panjang yang lain dengan memenuhi keperluan KWSP untuk melindungi nilai pulangan benar ke atas asetnya.
 
Dari segi institusi, Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (Mida) merupakan agensi utama kerajaan yang bertanggungjawab mempromosi serta memudahkan pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia. Mida memainkan peranan penting di dalam transformasi negara di bawah pelbagai fasa pembangunan industri sepanjang tempoh empat dekad lalu. Mida juga diiktiraf di kalangan pelabur asing dan domestik. Bagaimanapun, masanya telah tiba untuk membuat perubahan drastik bagi menjadikan Mida sebuah agensi promosi pelaburan yang lebih efektif.
 
Saya dengan ini mengumumkan Mida akan dikorporatkan untuk memberikannya lebih fleksibiliti untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja serta bakat diperlukan untuk menjadi sebuah agensi promosi pelaburan berdaya saing pada peringkat antarabangsa. Kerajaan juga bersetuju memperkasa Mida dengan kuasa yang diperlukan untuk berunding secara terus dengan pelabur untuk projek yang disasarkan. Mida akan dilantik sebagai agensi pusat promosi pelaburan untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan, kecuali perkhidmatan utiliti dan kewangan, bagi meningkatkan koordinasi dan
kepaduan antara pelbagai badan promosi pelaburan di negara ini. Perubahan ini akan membolehkan Mida meluluskan insentif secara real time dan bertindak lebih pantas untuk menjalin hubungan lebih efektif dengan pelabur. Mida akan dinamakan sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dengan mengekalkan akronim, Mida, yang merupakan jenama yang telah terkenal.
 
Sebagai tambahan kepada pembaharuan penting institusi, saya percaya, kita juga hendaklah memastikan keseimbangan antara Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta di dalam ekonomi sebagai sebahagian daripada MEB. Sebelum krisis kewangan Asia, sumbangan sektor swasta kepada KDNK jelas mengatasi sumbangan sektor awam. Sebaliknya, dalam dekad pertama alaf baru ini, keadaan ini telah berubah. Suntikan fiskal yang bermula sebagai kitaran keperluan menjadi satu pergantungan dan mewujudkan keadaan tidak mapan.
 
Saya telah menyentuh beberapa prinsip utama yang akan menjadi asas kepada penentukuran (recalibration) hubungan sektor awam-swasta; transformasi kerajaan untuk mengurangkan birokrasi dan memfokus kepada penciptaan persekitaran penggerak pertumbuhan; galakan dan insentif untuk merangsang inovasi dan produktiviti sektor swasta; fokus terhadap sektor berasaskan pengetahuan strategik untuk pertumbuhan jangka panjang; dan pengiktirafan terhadap kepentingan untuk merebut peluang di peringkat serantau dan global yang akan membantu pertumbuhan ekonomi.
 
Tahun lalu, saya menggariskan strategi untuk melihat GLC bagi melepaskan pegangan aset bukan teras; memangkin dan membangunkan ekosistem sektor teras mereka; dan bersaing secara adil dengan sektor swasta. Mengenai prinsip ketiga, saya mengumumkan bahawa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dibenarkan untuk melepaskan pegangan aset bukan teras dan/atau aset yang tidak kompetitif.

Hari ini saya ingin mengumumkan beberapa langkah lanjut yang dapat meningkatkan peluang sektor swasta di samping mengeratkan perhubungan di antara sektor awam dan swasta.
 
Melangkah ke hadapan, saya ingin melihat GLC dan agensi milik Kerajaan menjalin kerjasama strategik dengan sumber modal swasta di Malaysia dalam membantu bakal pelabur supaya lebih maklum mengenai order book kerajaan dan membina kompetensi nasional. Kerjasama ini penting, bukan saja ke arah meningkatkan strategi peluasan serantau (regionalisation) syarikat Malaysia mengambil kira saiz pasaran domestik, malahan memastikan sumber modal tersedia dan boleh digunakan dengan segera. Di samping itu, peluang mewujudkan usaha sama dengan pelabur dari pelbagai bidang termasuk pelabur runcit, dan dana mutual tempatan dan luar negara kekal terbuka. Jika ini berjaya dilaksanakan dalam skala besar, kerjasama ini dapat menjadi pemangkin kepada satu bentuk kerjasama awam-swasta yang unik. Kita sudah mempunyai beberapa inisiatif menuju ke arah ini. Contohnya penswastaan Astro dan kerjasama di antara Malakoff dan Tenaga

Nasional di dalam projek utiliti di Arab Saudi.

Kita sudah menunjukkan perkembangan di dalam bidang pelupusan aset bukan teras dan dalam masa sembilan bulan yang lepas, Khazanah melepaskan pegangan yang  ketara dalam Tenaga Nasional, Malaysia Airports dan Plus dengan tujuan untuk meningkatkan kecairan saham ini. Namun lebih banyak perkembangan di sektor ini perlu dilakukan.

Kita akan melupuskan aset bukan teras dan aset tidak kompetitif dalam bidang di mana pemegang saham strategik yang baru mempunyai potensi untuk meningkatkan pewujudan nilai, berbanding jika mereka terus berada di dalam pegangan kerajaan. Sudah tentu, kita perlu memastikan pelupusan ini melepasi penilaian yang ketat demi kepentingan awam.

Proses telus akan dilaksanakan bagi memastikan pembida berpotensi sektor swasta memenuhi kriteria minimum, termasuk dari segi kedudukan kewangan, rekod di dalam pengembangan perniagaan dan kecemerlangan pengurusan, serta tawaran mereka membantu pembangunan Bumiputera dan menjayakan gagasan 1Malaysia. Pembida hendaklah menunjukkan penyampaian melebihi tanda aras ooinovasi dan penciptaan nilai, serta menyokong matlamat MEB iaitu berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemapanan. Bagi membangunkan proses ini, saya mencadangkan satu panel penilai terdiri daripada ahli kewangan profesional, pakar industri antarabangsa dan pegawai kanan kerajaan dilantik untuk menilai bidaan sektor swasta bagi aset GLC. Memandangkan pentingnya prestasi sektor awam dan swasta ditingkatkan, kita perlu berwaspada bagi memastikan pindahan aset GLC kepada sektor swasta tidak mengabaikan matlamat pembaharuan dan penyampaian sektor awam atau pelupusan aset yang menjejaskan kepentingan awam. Pada masa tertentu, ini termasuk mengekalkan pengurusan utama dan mengelakkan pemberhentian pekerja secara tanpa rela. Saya sedar kepentingan mengkaji semula tarif dan insentif sedia ada yang disediakan kepada GLC jika kita ingin menarik pelaburan swasta dan, untuk itu, saya mencadangkan sebarang kajian semula berkaitan hal ini dibawa ke Kabinet.

Dengan garis panduan dan prinsip strategik yang jelas, saya yakin momentum perjalanan transformasi GLC akan dapat terus dikekalkan, dan saya mengumumkan bahawa Khazanah telah memutuskan melupuskan 32 peratus pegangan dalam Pos Malaysia melalui dua peringkat proses pelupusan strategik. Pada peringkat pertama bermula serta-merta, kaedah urus tadbir korporat dan kawal seliaan yang sesuai akan dipatuhi. Perbincangan menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan akan dilaksanakan. Pos Malaysia akan membuat persediaan untuk pelupusan strategik dengan mengambil kira pelbagai aspek persekitaran perniagaannya termasuk struktur kawal seliaan, penggunaan tanah kerajaan dan kedudukan serta kebajikan pekerja. Isu berlanjutan mengenai pendapatan rendah sebilangan staf termasuk posmen juga akan dikaji semula. Bagi memastikan kepentingan kedua-dua sektor awam dan komersial adalah seimbang, kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci dan mengemaskini rangka kawal selia sistem pos. Di peringkat kedua, Khazanah akan menggariskan proses bidaan dan penilaian untuk memilih pemegang saham baru dengan tahap keusahawanan yang tinggi bagi memodenkan Pos Malaysia. Maklumat lanjut berkaitan hal ini akan diumumkan.

Bagi mempromosikan pelaburan ekonomi ke tahap lebih tinggi, beberapa lot tanah di Jalan Stonor, Jalan Ampang, Jalan Lidcol, Kuala Lumpur, dikenal pasti untuk ditender dan dibangunkan sektor swasta. Inisiatif ini akan menjadi permulaan yang baik untuk lebih banyak penjualan dan usaha sama antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan harta tanah. Sukacita saya maklumkan kerajaan dan KWSP akan membentuk kerjasama bagi membangunkan 3,000 ekar tanah di Sungai Buloh sebagai hab baru bagi Lembah Klang. Ini akan membawa kepada pelaburan baru yang melebihi RM5 bilion yang akan memberikan kesan segera kepada pertumbuhan ekonomi domestik, dengan potensi yang besar kepada sektor swasta untuk turut sama terlibat dengan lebih aktif.

Kerajaan juga secara beransur-ansur akan mengurangkan peranannya dalam aktiviti persaingan secara langsung dengan sektor swasta. Kita telah menyemak semula beberapa syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan dan agensi-agensi lain, dan saya ingin memaklumkan, kita sedang mempertimbangkan langkah penswastaan untuk Percetakan Nasional Malaysia Berhad, CTRM Aero Composites Sdn Bhd, Nine Bio Sdn Bhd dan Innobio Sdn Bhd serta beberapa lagi syarikat.

Selain itu, Petronas telah mengenal pasti dua subsidiari yang mempunyai prestasi baik akan disenaraikan tahun ini. Matlamat inisiatif ini untuk mengurangkan penglibatan kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti perniagaan yang akan menjadi lebih cekap jika dijalankan sektor swasta dan memberi isyarat jelas komitmen menggalakkan persaingan dalam ekonomi, mengambil risiko dan merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada semua warga Malaysia.

Cabaran sekarang memerlukan kita menilai semula cara kita melakukan sesuatu. Institusi, pendekatan dan sistem yang telah berjaya sebelum ini mungkin perlu diubahsuai mengikut perubahan landskap global.

Pengumuman hari ini, mengenai pelupusan baru, usaha sama sektor awam dan swasta, serta pembaharuan mengenai proses kerajaan menjana pertumbuhan - mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperbaharui dan menempatkan negara kita, guna tenaga kita, syarikat kita dan generasi masa depan untuk berdepan cabaran ekonomi global yang kompetitif.

PENUTUP
Pada hari-hari pertama sebagai Perdana Menteri, saya mengatakan bahawa Malaysia mesti bersedia berubah. Kita tiada pilihan, selain bergerak menjadi negara berpendapatan tinggi dengan pertumbuhan mapan dan menyeluruh. Perubahan ini tentu menyakitkan dan jalan pintas pastinya menarik. Namun, kita tidak boleh hanya mencari kemenangan mudah. Ia pasti perjalanan yang membawa kesukaran masa pendek, tetapi berbaloi dalam mewujudkan masa depan lebih kukuh. Kita memerlukan 'dorongan kuat' yang mapan dan konsisten supaya perubahan besar hari ini menghasilkan arus momentum yang semakin kuat dan membantu mencapai matlamat kita.Sedang kita pulih dari kemelesetan ekonomi, kita akan mempunyai kekuatan dan wawasan memburu agenda perubahan hebat lagi mencabar, tetapi amat perlu demi masa depan negara? Jawapan kita ialah dengan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, memberikan anak-anak kita peluang pendidikan yang terbaik, serta menarik pelaburan berkualiti tinggi, yang akan menjadi tema pendorong perhimpunan penting ini.

Di persimpangan yang genting ini, di mana kita mengimbangkan sejarah negara dengan masa hadapannya, saya percaya kita ada kekuatan mencapai cita-cita Malaysia.

Namun begitu, ia adalah lebih besar daripada cita-cita ekonomi negara kita. Ini adalah tentang kehidupan lebih besar peluangnya untuk generasi masa hadapan.

Ini adalah tentang membuka mata keluarga berpendapatan rendah untuk membantu mereka keluar dari kemelut kemiskinan. Ini tentang lapisan masyarakat kita di mana setiap daripada kita mempunyai peluang dan tanggungjawab. Ia mengenai meletakkan Malaysia di barisan hadapan ekonomi berpendapatan tinggi supaya kita dapat berdiri sama tinggi dengan negara maju lain. Saya yakin - dengan sokongan anda - kita akan memilih jalan yang betul, bergerak ke hadapan dan membina Malaysia yang lebih saksama, kukuh dan dinamik. Saya menyeru anda berganding bahu dengan saya dalam perjalanan bersejarah ini untuk membina kemakmuran dan masa depan baru demi 1Malaysia.