Sejarah Ekonomi Sejarah Ekonomi

bullet Fasa Pertama Kemerdekaan, 1957-1970

Ketika negara mencapai Kemerdekaan pada tahun 1957,aktiviti ekonomi negara adalah berasaskan komoditi utama dengan pergantungan tinggi kepada getah dan timah yang menyumbang sebanyak 70 peratus kepada jumlah pendapatan eksport, 28 peratus kepada pendapatan Kerajaan dan 36 peratus kepada jumlah pekerjaan. Dalam tempoh 1957 sehingga 1970, ekonomi berkembang sebanyak 6 peratus setahun dengan sektor swasta menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi. Pelaburan swasta berkembang sebanyak 7.3 peratus setahun dalam tempoh tersebut.

Kerajaan untuk negara yang baru merdeka telah mangambil langkah yang strategik untuk mengatasi kelemahan struktur ekonomi dengan memberi tumpuan kepada mengembangkan dan memodenkan pengeluaran pertanian serta menekankan pembangunan luar bandar. Penggantian import adalah strategi yang digunakan untuk menggalakkan pembangunan industri yang memberi tumpuan kepada industri berasaskan sumber seperti getah dan timah.

Hasil daripada kemajuan yang dicapai dalam pertanian dan perkilangan termasuk utiliti, perkhidmatan dan sektor-sektor lain, Malaysia telah muncul pada akhir 1960an dengan asas ekonomi yang lebih dalam, lebar dan kukuh. Sumbangan eksport barangan dan perkhidmatan kepada KNK menurun daripada 52.6 peratus pada tahun 1960 kepada 45.1 peratus pada tahun 1970, manakala sumbangan getah dan timah dalam eksport keseluruhan barangan juga menurun daripada 70 peratus kepada 53 peratus dalam dekad tersebut. Oleh yang demikian, pada tahun 1970, fasa pertama daripada transformasi ekonomi Malaysia, iaitu kepelbagaian pertanian, telah menampakkan kesan iaitu kayu balak dan minyak kelapa sawit muncul sebagai komoditi eksport terpenting. Dengan penemuan telaga minyak di pesisir pantai Sarawak, pengeluaran petroleum mentah pula semakin penting. Pertumbuhan sebanyak 6 peratus setahun bagi tempoh tersebut adalah melepasi sasaran 5 peratus yang ditetapkan oleh Pembangunan Dekad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi negara-negara sedang membangun.
 

| Tarikh Kemaskini 01/03/2013
Mukasurat: 1  2  3  4  5