Ekonomi Makro Ekonomi Makro

bullet Latar Belakang

Sejak penubuhan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) pada tahun 1961, Seksyen Ekonomi Makro (SEM) bertanggungjawab menyediakan dasar dan strategi ekonomi makro serta unjuran jangka sederhana dan jangka panjang. Ini termasuklah Rancangan Pembangunan Lima Tahun negara hingga yang terkini iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan dan Rangka Rancangan Jangka Panjang. Fokus utama adalah untuk menentukan hala tuju pertumbuhan ekonomi negara, sumber-sumber pertumbuhan ekonomi serta siling peruntukan pembangunan. SEM turut memberi khidmat nasihat kepada stakeholder dan agensi Kerajaan lain mengenai isu-isu semasa dan prospek ekonomi negara termasuklah penyediaan dokumen-dokumen Kerajaan seperti Pelan Induk Perindustrian Negara dan Dasar Pertanian Negara di samping terlibat secara aktif dalam program bantuan teknikal kepada negara membangun lain.

 

Selain itu, SEM juga memainkan peranan yang aktif dalam mengendali dan menyampaikan taklimat perancangan dan pembangunan ekonomi negara, kedudukan semasa ekonomi negara dan menyediakan kertas-kertas isu tertentu. SEM juga diamanahkan untuk mentadbir pangkalan data ekonomi negara untuk kegunaan dalaman dan laman web UPE.

bullet Objektif

  • Merangka dasar dan strategi ekonomi makro ke arah pencapaian matlamat Wawasan 2020.
  • Menyediakan rangka ekonomi makro (macroeconomic framework) bagi menentukan arah untuk memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negara pada tahap yang optima dengan menggunakan sumber dalam dan luar negeri dengan cara yang berkesan.
  • Memperakukan saiz perbelanjaan sektor awam dengan mengambil kira keupayaan sumber untuk melaksanakan dasar fiskal berhemat.
  • Memantau keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara selaras dengan matlamat pembangunan jangka panjang.

bullet Fungsi Utama

  • Merangka dasar dan strategi pembangunan berhubung dengan pendapatan negara, keluaran negara, imbangan pembayaran dan akaun sektor awam;
  • Membuat unjuran bagi pembolehubah utama ekonomi makro dalam tempoh jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang untuk Rancangan Pembangunan Lima Tahun dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Pembangunan Lima Tahun dan Rangka Rancangan Jangka Panjang;
  • Menganalisa prestasi dan prospek ekonomi mengikut sektor pengeluaran dalam ekonomi;
  • Mengkaji komponen-komponen jumlah permintaan agregat dalam negeri terutama dari segi penggunaan dan pelaburan;
  • Mengenalpasti potensi dan sumber baru pertumbuhan ekonomi;
  • Mengkaji dan meneliti perubahan struktur ekonomi negara;
  • Memantau keberkesanan dasar fiskal, khususnya belanjawan sektor awam yang disatukan dan pembiayaan dan mengkaji perkembangan arah aliran sistem kewangan;
  • Memantau dan mengikut perkembangan perdagangan luar negara, imbangan pembayaran dan pertukaran wang asing;
  • Membuat analisa dan unjuran KDNK Negeri mengikut sektor;
  • Memantau dan memastikan perkembangan harga dalam negeri dalam suasana stabil dan sederhana seperti yang dicerminkan oleh Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar;
  • Menyelaras sistem pengesanan daya saing negara atau "Competitiveness Monitoring Sistem' dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya;
  • Mengemaskini website UPE berkaitan dengan petunjuk-petunjuk utama ekonomi terkini;
  • Menyediakan buku kecil tahunan "Malaysian Economy in Figures";
  • Memantau kedudukan ekonomi dan petunjuk-petunjuk ekonomi terkini serta menyediakan kertas Kedudukan Semasa Ekonomi Negara untuk mesyuarat:
    • Majlis Raja-Raja;
    • Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan;
    • Jawatankuasa Perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri;
    • Ketua Jabatan Persekutuan; dan
    • Ketua Eksekutif Badan Berkanun Persekutuan
  • Menyediakan draf  Titah Diraja Perasmian Penggal Parlimen, draf jawapan kepada pertanyaan Parlimen, ulasan kertas Jemaah Menteri dan maklum balas keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri; dan
  • Menyedia dan menyampaikan taklimat pembangunan ekonomi Malaysia dan perkara yang berkaitan dengannya kepada Ketua-ketua Negara/ pegawai kanan/ pelawat negara asing/ tempatan dari semasa ke semasa.
  • Menjadi urusetia kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Langkah Membendung Inflasi dan Majlis Menangani Inflasi yang bermesyuarat setiap minggu serta urusetia bersama Jabatan Perangkaan bagi Jawatankuasa Pengguna Utama; dan
  • Tugas-tugas lain yang diarahkan oleh Ketua Pengarah UPE, JPM dari semasa ke semasa.
bullet  Piagam Pelanggan

Seksyen Ekonomi Makro (SEM) berazam untuk merangka dasar dan strategi ekonomi makro ke arah pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mampan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020. Dengan itu, SEM berikrar akan melaksanakan tugas secara objektif  dan profesional dalam masa yang ditetapkan selaras dengan fungsi utama seksyen, iaitu:

  • Merangka dasar dan strategi pembangunan serta membuat unjuran bagi pembolehubah utama ekonomi makro dalam tempoh jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang untuk Rancangan Pembangunan Lima Tahun dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Pembangunan Lima Tahun dan Rangka Rancangan Jangka Panjang;
  • Mengemaskini data utama ekonomi serta menganalisa prestasi dan prospek ekonomi mengikut sudut permintaan dan penawaran di samping meneliti perubahan struktur ekonomi negara;
  • Memantau keberkesanan dasar fiskal, perdagangan luar negara, imbangan pembayaran dan pertukaran wang asing serta perkembangan harga dalam negeri;
  • Mengenalpasti potensi dan sumber baru pertumbuhan ekonomi;
  • Tugasan lain termasuk menyediakan:
    • Buku kecil tahunan "Malaysian Economy in Figures";
    • Kertas Kedudukan Semasa Ekonomi Negara untuk mesyuarat Majlis Raja-Raja;Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan; Jawatankuasa Perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri; Ketua Jabatan Persekutuan; dan Ketua Eksekutif Badan Berkanun Persekutuan;
    • Menyediakan draf  Titah Diraja Perasmian Penggal Parlimen, draf jawapan kepada pertanyaan Parlimen, ulasan kertas Jemaah Menteri dan maklum balas keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri; dan
    • Menyedia dan menyampaikan taklimat pembangunan ekonomi Malaysia dan perkara yang berkaitan dengannya kepada Ketua-ketua Negara/ pegawai kanan/ pelawat negara asing/ tempatan dari semasa ke semasa.

bullet Maklumat Untuk Dihubungi

Seksyen Ekonomi Makro,
Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,
Aras 4, Blok B5, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 W.P Putrajaya
No. Tel. : 03-88723250
Faks : 03-88883798

| Tarikh Kemaskini 21/08/2014