Latar Belakang
Jawatankuasa Pelaburan Asing (Foreign Investment Committee-FIC) telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengawal selia perolehan kepentingan-kepentingan dan aset-aset, pengambilalihan dan percantuman syarikat oleh pihak asing dan tempatan supaya selaras dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru. Penubuhannya adalah didorong oleh struktur pemilikan dan kawalan ke atas ekonomi oleh syarikat-syarikat asing yang tinggi iaitu 60 peratus terutamanya dalam bidang pertanian, perlombongan dan kuari, perdagangan dan perkilangan. Justeru itu FIC berperanan mencapai matlamat Kerajaan meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 1990. Bagi mencapai tujuan tersebut, FIC telah menetapkan kadar 30:40:30 di mana menjelang tahun 1990, pemilikan korporat negara akan dimiliki 30 peratus oleh Bumiputera, 40 peratus oleh bukan Bumiputera dan 30 peratus oleh kepentingan asing. Sehingga kini, matlamat pemilikan ekuiti Bumiputera ini masih belum mencapai sasarannya dan usaha ini telah dilanjutkan sehingga 2010 selaras dengan Dasar Ekonomi Baru.
Semenjak penubuhan, Garis Panduan FIC telah dipinda beberapa kali selaras dengan perkembangan ekonomi dan keputusan kerajaan. Berikutan daripada kemelesetan ekonomi yang berlaku pada akhir tahun 90an, serta pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi pada 21 Mei 2003, beberapa pindaan telah dibuat ke atas Garis Panduan FIC. Bagi memastikan Garis Panduan FIC sentiasa relevan dengan keadaan semasa, Garis Panduan ini sekali lagi dipinda pada 1 Januari 2008. Garis Panduan yang diguna pakai kini terbahagi kepada dua iaitu:
i) Garis Panduan Mengenai Perolehan Kepentingan, Penggabungan Dan Pengambilalihan Oleh Kepentingan Tempatan Dan Asing;
ii) Garis Panduan Mengenai Perolehan Hartanah Oleh Kepentingan Tempatan Dan Asing.
Kedua-dua Garis Panduan tersebut telah berkuatkuasa mulai daripada 1 Januari 2008, sementara prosedur baru FIC telah mula dilaksanakan pada 1 Ogos 2004. Prosedur baru yang diperkenalkan adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan sistem penyampaian awam.
FIC mempunyai seramai 11 orang ahli pada masa ini iaitu Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi sebagai pengerusi, Gabenor Bank Negara Malaysia, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Perlaksanaan, Pengerusi Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ketua Setiausaha Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat.

Objektif
Objektif FIC adalah untuk mengawal selia perolehan kepentingan, penggabungan, pengambilalihan dan hartanah oleh kepentingan asing dan kepentingan tempatan seperti berikut:-
- Meningkatkan penyertaan Bumiputera kepada sekurang-kurangnya 30 peratus pada tahun 2010 dalam pemilikan ekuiti dan pengawalan syarikat tempatan;
- Meningkatkan penyertaan warganegara Malaysia dalam pemilikan ekuiti dan pengawalan syarikat tempatan;
- Memperolehi faedah-faedah ekonomi berkaitan dengan penyertaan warganegara terutamanya Bumiputera dalam aspek pengurusan, pembahagian pendapatan, pertumbuhan, pekerjaan, eksport, kepelbagaian ekonomi, prosesan bahan mentah tempatan, latihan, penyelidikan dan pembangunan; dan
- Mengawasi sektor-sektor ekonomi selaras dengan dasar Kerajaan dan kepentingan negara.

Fungsi Utama
- Menggubal garis panduan mengenai dasar terhadap pelaburan oleh kepentingan tempatan dan asing dalam semua sektor ekonomi untuk mencapai objektif Dasar Pembangunan Nasional dan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga;
- Menimbang dan menyelaras perolehan kepentingan, hartanah, penggabungan dan pengambilalihan syarikat dan usahasama oleh kepentingan tempatan dan asing;
- Memantau dan mengawalselia perolehan kepentingan, hartanah, penggabungan dan pengambilalihan syarikat dan usahasama oleh kepentingan tempatan dan kepentingan asing;
- Membangunkan pangkalan data dan mengumpul maklumat mengenai cadangan perolehan kepentingan, hartanah, penggabungan dan pengambilalihan syarikat dan usahasama oleh kepentingan tempatan dan kepentingan asing;
- Menyelaras dan memberi nasihat kepada pelanggan iaitu Kementerian dan Agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri, pihak swasta dan orang awam mengenai perkara-perkara berhubung dengan pelaburan asing; dan
- Bertindak sebagai Urusetia FIC.

Senarai Untuk Dihubungi
Setiausaha,
Jawatankuasa Pelaburan Asing,
Unit Perancang Ekonomi,
Jabatan Perdana Menteri,
Aras –1, Blok B5,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya, Malaysia.
No. Tel. : 603-8888 3333/2944/2916
Faks : 603-8888 3917

Lain-lain
Carta Organisasi (pdf)