Alat Pengurusan Projek Alat Pengurusan Projek

bullet PENDEKATAN KERANGKA LOGIK (LOGICAL FRAMEWORK APPROACH-LFA)

Alat pengurusan projek bersifat objektif yang memberikan hubungan logik di antara semua komponen projek, (stakeholder, aktiviti, output, sumber dan outcome jangka pendek, sederhana dan jangka panjang) dan situasi masalah. LFA boleh digunakan sebagai alat pengenalpastian, perancangan, pemantauan dan penilaian projek pembangunan. Kaedah ini dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Fasa Analisis dan Fasa Perancangan.

a) Fasa Analisis

Dalam fasa analisis, situasi masalah/keperluan stakeholder dianalisis untuk mengenal pasti projek yang boleh dilaksanakan. Setelah mengenal potensi projek yang boleh dilaksanakan, kajian kemungkinan yang bersesuaian dengan jenis projek perlu dilakukan untuk menentukan kebolehlaksanaan dan daya saing projek yang dicadangkan. Ringkasan projek dalam format LFM disediakan berdasarkan kepada maklumat daripada fasa analisis dan kajian kemungkinan.

Fasa Analisis merangkumi empat jenis analisis yang dibuat mengikut urutan iaitu:

i. Analisis Stakeholder

Analisis stakeholder memberi gambaran menyeluruh mengenai individu, kumpulan dan organisasi serta institusi yang berkaitan dengan projek. Ini meliputi semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pelaksanaan projek dan menerima kesan secara langsung dan tidak langsung daripada projek. Ia bertujuan memperolehi maklumat menyeluruh mengenai pandangan dan keperluan stakeholder bagi mengenalpasti masalah siapakah dan apakah masalah yang akan diselesaikan oleh projek.

ii. Analisis Masalah

Situasi masalah sedia ada yang hendak diselesaikan dianalisis dalam analisis masalah. Analisis ini bertujuan mengenalpasti punca masalah/masalah utama yang dihadapi dan hubungan sebab-akibat masalah tersebut. Masalah-masalah yang dikenalpasti melalui percambahan pendapat dan dikategorikan sebagai sebab, akibat dan punca masalah/masalah utama. Masalah dinyatakan dalam kenyataan negatif.

iii. Analisis Objektif

Analisis objektif menggambarkan situasi masa depan yang akan dicapai dengan menyelesaikan masalah yang telah dikenalpasti. Objektif projek dikenalpasti berpandukan kepada masalah yang dikenalpasti dengan menukarkan kenyataan negatif masalah kepada kenyataan positif. Masalah yang dikategorikan sebagai sebab masalah utama akan menjadi kaedah penyelesaian masalah dan akibatnya akan menjadi objektif yang akan dicapai. Pemilihan sebab-akibat yang hendak ditukarkan menjadi kaedah-objektif bolehlah ditentukan berpandukan kepada keperluan stakeholder dan kebolehcapaian sesuatu objektif. Sekiranya perlu kaedah dan objektif boleh ditambah atau digugur mengikut keperluan.

iv. Analisis Strategi

Pilihan kaedah-objektif berbeza yang dikenalpasti melalui analisis objektif diteliti dengan mengambil kira, kekuatan, kelemahan dan risiko yang berkaitan dengan setiap pilihan projek. Pilihan projek ada diteliti bagi melihat pendekatan yang paling sesuai digunakan untuk mencapai tujuan projek. Satu atau kombinasi beberapa projek boleh dipilih untuk dilaksanakan bagi mencapai objektif projek. Pilihan boleh dibuat berdasarkan kriteria tertentu seperti kos projek, kebarangkalian mencapai objektif, kebolehlaksanaan dan daya saing projek, kesan sosial dan persekitaran.

b) Fasa Perancangan

Maklumat objektif projek yang dikenalpasti daripada fasa analisis LFA dan kajian kemungkinan untuk memilih reka bentuk projek yang berdaya saing digunakan untuk menyediakan ringkasan projek dalam format Matriks Kerangka Logik (LFM). LFM mengandungi empat baris objektif (outcome kementerian, outcome projek, output projek dan aktiviti projek) dan empat kolum yang memberi maklumat mengenai Keterangan Projek, Petunjuk Prestasi Utama, Sumber Data dan Andaian.

Maklumat yang perlu diisi dalam kolum keterangan projek (objektif) boleh dipilih daripada pilihan kaedah-objektif dalam analisis strategi. Petunjuk prestasi utama adalah kaedah yang dipilih untuk mengukur secara objektif outcome pada setiap peringkat. Kolum sumber data memberikan sumber maklumat data yang akan digunakan untuk mengukur petunjuk prestasi yang dipilih. Faktor risiko yang perlu diuruskan untuk mencapai objektif pada sesuatu tahap diisi dalam ruangan andaian. Ruangan Petunjuk Prestasi Utama dan data aktiviti projek diisi dengan maklumat berkaitan dengan sumber (kepakaran, kewangan dan peralatan) dan input yang diperlukan untuk melaksanakan projek. Maklumat mengenai jadual kerja, kos projek pembangunan dan operasi, keperluan sumber manusia dan peralatan berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada laporan kajian kemungkinan diisi dalam ruangan ini.

Maklumat terperinci boleh diperoleh melalui Pekeliling Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Bilangan 1 Tahun 2009: Garis Panduan Perancangan dan Penyediaan Program dan Projek Pembangunan/Handbook for Logical Framework Analysis yang bertarikh 1 Jun 2010.

 

Kembali ke atas

 

Mukasurat: 1  2