-A A +A
  • Black/White
  • White/Black
  • Yellow/Blue
  • Standard

Current Style: Standard

You are here

Rancangan Malaysia Lima Tahun

Rancangan Malaysia Lima Tahun merujuk kepada Pelan Jangka Sederhana yang mengandungi dokumen kerja utama untuk melaksanakan program pembangunan Kerajaan, menetapkan sasaran perkembangan makro-ekonomi dan juga saiz serta peruntukan yang disediakan untuk program pembangunan sektor awam bagi tempoh lima tahun sesuatu Rancangan. Ianya juga menyatakan peranan indikatif yang dijangkakan bagi sektor swasta.

Rangka Ekonomi Makro

Rangka Ekonomi Makro mengandungi struktur ekonomi bagi setiap tahun dan purata pertumbuhan bagi tempoh Rancangan Malaysia Lima Tahun sebelumnya serta Rancangan Malaysia Lima Tahun semasa. Selain itu, rangka tersebut meliputi, antara lain, unjuran kadar pertumbuhan, saiz Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), unjuran Keluaran Negara Kasar (KNK) dan unjuran hasil Kerajaan Persekutuan dan sektor awam.

Peruntukan Kerajaan Persekutuan

Peruntukan Kerajaan Persekutuan adalah perbelanjaan yang disediakan untuk program, projek dan aktiviti yang dilaksanakan bagi mencapai matlamat dasar dan strategi Kerajaan Persekutuan. Peruntukan Kerajaan terbahagi kepada peruntukan pembangunan dan peruntukan mengurus.

  1. Peruntukan Pembangunan
    Peruntukan pembangunan adalah bajet yang diluluskan bagi melaksanakan program/projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun. Peruntukan pembangunan adalah perbelanjaan modal dan perbelanjaan tidak terulang dan bukan perbelanjaan penggunaan sebaliknya lebih bersifat pelaburan. Justeru ianya melibatkan modal atau peruntukan yang besar, memberikan faedah jangka masa panjang serta memerlukan penyeliaan dan penyelenggaraan. Contoh: Pembinaan jalan, sekolah, pejabat, hospital, klinik dan balai polis.

  2. Peruntukan Mengurus
    Peruntukan mengurus adalah perbelanjaan bagi aktiviti yang berulangan dan berterusan dan terdiri daripada dua komponen iaitu:
    • Perbelanjaan tanggungan merupakan perbelanjaan yang dipertanggungkan terus kepada Kumpulan Wang Disatukan melalui Perlembagaan Persekutuan atau Undang-undang Tertentu (Perkara 98 Perlembagaan Persekutuan). Contoh: Gaji YDP Agong, khidmat hutang Kerajaan, pencen, gaji hakim dan pemberian kepada negeri; dan
    • Perbelanjaan bekalan pula merupakan perbelanjaan bagi mengurus aktiviti Kerajaan sama ada yang berterusan atau "one-off" dan diperuntukkan mengikut Maksud Bekalan tertentu dan perlu dibentang untuk kelulusan Parlimen sebagai satu Akta Bekalan bagi setiap tahun Belanjawan. Contoh: Emolumen kakitangan Kerajaan, sewaan pejabat serta pembelian aset dan bahan api.

Pendekatan Berasaskan Outcome

Pendekatan perancangan pembangunan bersepadu berasaskan outcome merupakan kaedah perancangan sistematik yang memberi tumpuan kepada pencapaian outcome bagi memenuhi keperluan kumpulan sasaran tertentu. Pendekatan ini mengintegrasi perancangan pembangunan secara sistematik dengan keperluan sumber (bajet dan personel) dan disokong oleh pemantauan dan penilaian melalui sistem pengurusan maklumat. Kaedah ini akan memastikan keseluruhan rancangan pembangunan dan peruntukan yang disediakan mempunyai pertalian langsung dengan pencapaian outcome.