Fasa Pertama Kemerdekaan, 1957-1970
Ketika negara mencapai Kemerdekaan dalam tahun 1957 ekonomi pada dasarnya berasaskan komoditi utama dengan pergantungan tinggi kepada getah dan timah yang menyumbang sebanyak 70 peratus daripada jumlah pendapatan eksport, 28 peratus daripada pendapatan kerajaan dan 36 peratus daripada jumlah pekerjaan. Ekonomi pada asasnya dipandu oleh sektor swasta. Pelaburan swasta mencapai pertumbuhan purata tahunan sebanyak 7.3 peratus. Ekonomi juga tetap bergantung kepada perniagaan luar negara untuk menjana pendapatan daripada tukaran wang untuk membiayai pembangunannya.
Kerajaan untuk negara yang baru merdeka telah mencari jalan segera untuk mengatasi kelemahan struktur ekonomi dengan memberi tumpuan kepada mengembangkan dan memodenkan pengeluaran pertanian serta menekankan pembangunan luar bandar. Penggantian import adalah strategi yang digunakan untuk menggalakkan pembangunan industri yang memberi tumpuan kepada industri berasaskan sumber seperti getah dan timah.
Hasil daripada kemajuan yang dicapai dalam pertanian dan perkilangan termasuk utiliti, perkhidmatan dan sektor-sektor lain, Malaysia telah muncul pada akhir 1960an dengan asas ekonomi yang lebih dalam, lebar dan kukuh. Sumbangan eksport barangan dan perkhidmatan dalam KDNK menurun dari 52.6 peratus dalam tahun 1960 kepada 45.1 peratus dalam tahun 1970, manakala sumbangan getah dan timah dalam eksport keseluruhan barangan juga menurun dari 70 peratus kepada 53 peratus dalam dekad tersebut. Oleh yang demikian, pada tahun 1970, fasa pertama daripada transformasi ekonomi Malaysia, iaitu kepelbagaian pertanian, telah menampakkan kesan di mana kayu balak dan minyak kelapa sawit muncul sebagai komoditi eksport terpenting. Dengan penemuan telaga minyak di pesisir Sarawak, pengeluaran petroleum mentah pula semakin penting. Pertumbuhan keseluruhan 6 peratus setahun bukan sahaja lebih tinggi dari yang disasarkan malah lebih cepat daripada sasaran 5 peratus oleh Pembangunan Dekad PBB untuk negara-negara membangun.