Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari merupakan program serta inisiatif yang ditetapkan oleh 31 Menteri dengan melibatkan 26 Kementerian dan 5 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri menerusi pembuktian pencapaian prestasi dalam tempoh 100 hari pertama selepas dilantik dalam Jemaah Menteri.
Tempoh 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia ditetapkan selepas pengumuman Kabinet Baharu oleh YAB Perdana Menteri iaitu bermula pada 1 September 2021 dan berakhir pada 9 Disember 2021.
Sekretariat utama bagi Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari di peringkat nasional ialah Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri.
Tiga Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) ialah:
- Pemantauan Dasar Pelaksanaan RMKe-12;
- Penyelarasan Inisiatif Awal dalam Dasar Pembasmian Kemiskinan; dan
- Pemerkasaan Tadbir Urus FELDA (Pelan Pemulihan FELDA).
Keberhasilan bagi setiap aspirasi dikawal selia oleh bahagian serta agensi berikut:
- Pemantauan Dasar Pelaksanaan RMKe-12 – Bahagian Penyelarasan, Kawalan dan Pemantauan, Unit Perancang Ekonomi;
- Penyelarasan Inisiatif Awal dalam Dasar Pembasmian Kemiskinan – Bahagian Pembangunan Ekuiti (BEQT), Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM); dan
- Pemerkasaan Tadbir Urus FELDA (Pelan Pemulihan FELDA) – Bahagian Pertanian, Unit Perancang Ekonomi.
Rasional pemilihan tiga Aspirasi melibatkan pemantauan RMKe-12, pembasmian kemiskinan dan pemulihan FELDA adalah berdasarkan kepada keutamaan bagi memastikan pendekatan komprehensif diambil untuk menyelaraskan dasar pembangunan dan pada masa yang sama memastikan tiada sesiapa pun yang tertinggal, sepertimana disasarkan dalam Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Pemantauan Dasar Pelaksanaan RMKe-12 merangkumi dua (2) aktiviti berikut:
- Penetapan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) sebagai Mekanisme Pemantauan Aspirasi RMKe-12; dan
- Penubuhan Jawatankuasa Khas Pemantauan RMKe-12.
Penyelarasan Inisiatif Awal dalam Dasar Pembasmian Kemiskinan merangkumi tiga (3) aktiviti berikut:
- Pembangunan Pangkalan Data Perlindungan Sosial Peringkat Persekutuan di Malaysia;
- Penglibatan Wakil Pertubuhan Masyarakat Sivil, Badan Korporat dan Ahli Akademik dalam Melaksanakan Strategi Pembasmian Kemiskinan; dan
- Penubuhan Unit Kemiskinan di Unit Perancang Ekonomi.
Pemerkasaan Tadbir Urus FELDA (Pelan Pemulihan FELDA) merangkumi lima (5) aktiviti berikut:
- Peningkatan Pendapatan Teras Dan Pengurangan Tanggungan Bayaran Pinjaman;
- FELDA Sahabat di Sabah menjadi Hab Pengeluaran Daging Ruminan;
- Caruman Skim Tanam Semula (STS) Bagi peneroka FELDA;
- Pembangunan Perumahan Berasaskan Konsep Bina Sendiri Oleh Generasi Kedua FELDA; dan
- Pelan Tindakan Pelaksanaan Ke Atas Pelan Pemulihan FELDA.
YB Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed merupakan jurucakap (spokesperson) rasmi bagi Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Penilaian terhadap keberhasilan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dilaksanakan berdasarkan tiga (3) kriteria utama iaitu:
- Perkhidmatan Teras (50%);
- Performance Review oleh Kepimpinan Tertinggi (YAB Perdana Menteri) (25%); dan
- Persepsi Awam (25%).
Penilaian Perkhidmatan Teras diukur berdasarkan pencapaian sasaran tiga (3) aspirasi yang ditetapkan menerusi penetapan skor keseluruhan pada wajaran sebanyak 50%.
Pelaksanaan performance review YAB Perdana Menteri akan merujuk kepada penilaian keberkesanan outcome program berdasarkan pencapaian Perkhidmatan Teras oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dengan penetapan wajaran sebanyak 25%. Kaedah penilaian akan dibuat secara bersemuka di antara YAB Perdana Menteri dengan Menteri pada tarikh yang akan ditentukan oleh sekretariat utama.
Penilaian persepsi awam Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dilaksanakan secara atas talian sepenuhnya, menerusi tinjauan soal selidik dan juga analisis sentimen.
Tinjauan soal selidik boleh diakses menerusi dua (2) pautan berikut:
- Warga Unit Perancang Ekonomi: https://tinjauansoalselidik.mampu.gov.my/government/epu/
- Rakyat (Orang Awam): https://tinjauansoalselidik.mampu.gov.my/
Analisis sentimen bagi Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dijalankan oleh sekretariat utama dengan merujuk kepada sentimen teks media dalam pelbagai berita atas talian serta sosial media terpilih iaitu Facebook, Twitter dan Instagram.
Penetapan kaedah penilaian persepsi awam menerusi platform atas talian adalah dengan mengambil kira trend kecenderungan rakyat Malaysia untuk menggunakan perkhidmatan atas talian kerana mempunyai akses internet tinggi. Dapatan ini adalah selaras dengan Laporan Tinjauan Pengguna Internet 2020 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyatakan 88.7% penduduk Malaysia mempunyai akses internet dengan 98.7% daripadanya diakses menerusi telefon pintar.
Sasaran jangka sederhana dan panjang bagi Aspirasi Keluarga Malaysia selepas 100 hari akan direncana oleh sekretariat utama khususnya setelah YAB Perdana Menteri membentangkan pencapaian keseluruhan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Jemaah Menteri.