Dato' Sri Mustapa Mohamad

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) adalah agensi pusat di bawah Jabatan Perdana Menteri yang berperanan menggubal dan merancang dasar pembangunan sosioekonomi negara untuk jangka masa sederhana dan panjang pada peringkat nasional, wilayah dan negeri. Salah satu dasar utama negara yang telah digubal adalah Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMKe-12), yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri pada 27 September 2021 di Dewan Rakyat dan pada 12 Oktober 2021 di Dewan Negara. RMKe-12 menetapkan hala tuju strategik yang jelas, bagi memperkukuh landasan pembangunan negara dalam tempoh pelaksanaannya, berlandaskan semangat Keluarga Malaysia.

RMKe-12 memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama. Keutamaan diberikan kepada aspek pembangunan negara dan membantu rakyat dalam mendepani cabaran ekonomi dan kesihatan kesan pandemik Covid-19. Pelaksanaan RMKe-12 dipantau oleh Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 yang dipengerusikan oleh YAB PM. Ini bagi memastikan RMKe-12 dilaksanakan sepenuhnya bagi memanafaatkan rakyat dan negara.

EPU, JPM akan melaksanakan pembaharuan yang berterusan samada dari segi perancangan kerja, sistem penyampaian dan tadbir urus, peningkatan latihan dan keupayaan pegawai serta strategi komunikasi yang berkesan bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat. Saya berharap portal ini akan memudahkan rakyat untuk mendapat maklumat yang terkini berkaitan dasar-dasar utama pembangunan sosioekonomi negara serta statistik mengenai sosioekonomi Malaysia. Diharap portal dapat ini dapat mejadi sumber rujukan yang bermanfaat kepada golongan sasar serta menepati tujuannya dalam mendekati dan memperat hubungan antara saya dan warga EPU, JPM dengan rakyat.

Salam hormat,

 

DATO’ SRI MUSTAPA MOHAMED
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)